Rabu, 8 Disember 2010

Salam Maal Hijrah 1432H

KEPTAN Kuala Kangsar mengambil kesempatan dalam ruangan ini mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baru 1432 Hijrah kepada ahli-ahli yang beragama islam. Masa yang diibaratkan seperti emas, memang sungguh berharga apabila ia berlalu dengan pantas dan tanpa disedari bulan Muharam yang merupakan bulan pertama dalam kalendar islam muncul lagi. Ketibaanya yang hampir serentak dengan tahun 2011 Masehi membuatkan kita tidak akan lupa, Insyaalah.
Dalam pada itu kita juga sebenarnya telah melewati usia yang semakin bertambah, rezeki kita juga semakin berkurangan, ajal semakin hampir dan kehidupan akhirat juga semakin menghampiri kita. Kehadiran bulan Muharam tahun ini sepatutnya kita mengambil manfaat sebaik yang mungkin kerana bulan ini mempunyai banyak kelebihan-kelebihannya. Selain daripada melakukan amal ibadat dan berpuasa sunat, adalah disarankan supaya kita semua melakukan perubahan ataupun penghijrahan ke arah kebaikan. Hijrah yang dimaksud ialah perubahan daripada melakukan kejahatan kepada kebaikan, daripada berakhlak buruk kepada berakhlak mulia dan daripada tidak bertakwa kepada bertakwa kepada Allah s.w.t. Semoga penghijrahan sebegini akan terus berkekalan sehingga hari kiamat. Insyaalah.

Selasa, 7 Disember 2010

Semakan Gaji Bulan Januari 2011

KEPTAN Kuala Kangsar telah dimaklumkan oleh Kakitangan Sumber Daerah Kuala Kangsar yang menyemak gaji bagi bulan Januari 2011 pada 1-2 Disember yang lepas, didapati masih ada lagi Pembantu Tadbir yang melakukan beberapa kesilapan mudah yang tidak sepatutnya dilakukan. Contohnya bagi perubahan gaji bulan Januari 2011 yang sepatutnya dihantar tanpa sebarang perubahan, cuma potongan wajib seperti pinjaman perumahan, potongan cukai pendapatan dan potongan-potongan yang dibenarkan sahaja.
Tetapi ada juga Pembantu Tadbir yang membuat perubahan dalam SG20 seperti potongan/simpanan untuk Lembaga Tabung Haji, tunggakan gaji, membetulan nama dalam paysheet gaji dan ada juga yang menghantar kew.8 pengesahan pelantikan. pemberian taraf berpencen untuk diubah dalam gaji bulan berkenaan. Ini menyebabkan Kakitangan Sumber terpaksa mengeluarkan SG20 berkenaan sebelum ianya dihantar ke Jabatan Akauntan Negara, Ipoh.
Justeru itu adalah dinasihatkan kepada semua Pembantu Tadbir supaya menghubungi/merujuk terus dengan Kakitangan Sumber masing-masing sebelum membuat sebarang perubahan dalam SG20.
p/s. sekolah-sekolah yang belum membuat pindaan kepada kod PTJ yang baru, dalam SG20 sila berbuat demikian dengan segera.

Isnin, 29 November 2010

Malaikat Maut Memerhatikan Wajah Manusia 70 Kali Dalam Sehari

Tahukah kita bahawa malaikat maut sentiasa merenung serta melihat wajah seseorang itu 70 kali sehari? Andainya manusia sedar hakikat itu, nescaya mereka tidak lalai mengingati mati. Oleh kerana malaikat maut adalah makhluk ghaib, manusia tidak dapat melihat kehadirannya, sebab itu manusia tidak menyedari apa yang dilakukan malaikat izrail.
Hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Abbas r.a bahawa Rasullah bersabda yang bermaksud: bahawa malaikat maut memerhati wajah manusia dibumi ini 70 kali dalam sehari. Ketika Izrail datang merenung wajah seseorang, didapati orang itu ada yang gelak-ketawa. Maka berkata Izrail: "Alangkah hairannya aku melihat orang ini, sedangkan aku diutuskan oleh Allah s.w.t untuk mencabut nyawanya, tetapi dia masih berseronok-seronok dan bergelak ketawa."
Justeru tidak hairanlah, jika manusia ramai yang masih mampu lagi bergelak sakan dan bersenang-lenang seolah-olah mereka tiada masalah yang perlu difikirkan dalam hidup. Takdirnya esok hari terakhir Allah s.w.t 'pinjamkan' nyawa kepada kita untuk bernafas di muka bumi ini, adakah kita sudah cukup bekalan bagi menghadapi dua fasa berikutnya iaitu alam barzakh dan alam akhirat?
Tiada seorang pun di dunia ini dapat menggambarkan bagaimana perasaan dan pengalaman mereka menghadapi saat kematian. Ajal tidak mengenal sesiapa samada mereka itu tua, muda, sihat, kaya atau miskin. Tiada daya atau usaha yang boleh menyelamatkan kita daripada kematian. Kematian menjadikan hati manusia sedih kerana berpisah dengan keluarga tercinta. Hanya amalan soleh sahaja akan membawa bertemu Allah.

Ahad, 28 November 2010

Kelebihan Dan Amalam Zulhijjah | iluvislam.com + discover the beauty of islam

Kelebihan Dan Amalam Zulhijjah | iluvislam.com + discover the beauty of islam

Al-Fatihah Untuk Allahyarham Zulkafely bin Hj. Ahmad

KEPTAN Kuala Kangsar mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Zulkafely bin Hj. Ahmad yang telah kembali kerahmatullah pada 26 November 2010 bersamaan hari jumaat yang lalu. Allahyarham yang bertugas di Sekolah Kebangsaan Pos Poi, Sungai Siput (U) telah dimasukkan ke hospital pada hari khamis yang lalu setelah mengadu sakit-sakit badan dan keletihan apabila balik dari bertugas. Allahyarham menghembuskan nafasnya yang terakhir pada malam itu setelah doktor mengesahkan bahawa Allahyarham diserang serangan jantung. Pihak KEPTAN sekali lagi mengucapkan takziah dan mendoakan semoga rohnya dicucuri rahmat dan dimasukkan dalam golongan orang-orang yang soleh. Al-Fatihah.

Selasa, 28 September 2010

Kursus PTK Bersiri Tahun 2010

Kursus PTK bersiri yang telah diadakan di Dewan PPD Kuala Kangsar telah mendapat sambutan yang begitu menggalakkan di kalangan ahli-ahli KEPTAN yang terdiri daripada KPT, PT dan PTR sekolah-sekolah daerah Kuala Kangsar. Program berbentuk ilmiah ini diadakan bagi memenuhi permintaan dan keperluan semasa ahli-ahli KEPTAN, terutama mereka yang akan menduduki peperiksaan PTK sesi ke2 pada bulan 16 Oktober ini. Pihak KEPTAN mengucapkan ribuan terima kasih atas sokongan ahli-ahli dan tidak lupa juga kepada penceramahnya iaitu Encik Samsudin bin Abd Rahman dari Jabatan Pelajaran Negeri Perak.
Pendaftaran peserta kursus
Salah seorang urusetia sedang sibuk mengedarkan bahan kursus.

Sebahagian daripada peserta kursus sedang menyemak nota-nota yang diedarkan. Beginilah setiap kali berkursus, kehadiran peserta perempuan lebih menggalakkan daripada lelaki. Mengapa ya.? Jangan le salah anggap, sebenonya kebanyakan kaum lelaki telahpun lulus peperiksaan PTK. 
Nampaknya peserta kursus begitu tekun mendengarkan taklimat yang disampaikan oleh penceramah. Selama ini kebanyakan kita tidak tahu teknik-teknik menjawab dan kehendak soalan-soalan PTK. Maklumlah soalan objektif, main tanda je.... 
Apapun selepas ini ada 2 siri lagi kursus seperti ini. Pihak KEPTAN menyarankan mana-mana ahli yang berminat dan yang ingin lulus PTK bolehlah menghadirkan diri pada siri kursus yang akan datang.   

Isnin, 20 September 2010

Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 1431 Hijrah

Mesyuarat AJK KEPTAN kali ke2 Tahun 2010 yang telah diadakan di Bilik Gerakan, SK Raja Muda Musa pada 17 September 2010 telah bersetuju untuk mengadakan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 1431 H / Tahun 2010 Masehi pada ketetapan berikut :

Tarikh    :    24 September 2010 ( Hari Jumaat )
Masa     :    3.00 petang
Tempat  :    Dewan Pejabat Pelajaran Daerah Kuala Kangsar

Semoga kehadiran tuan/puan dapat mengeratkan lagi tali silaturrahim dan menyerikan lagi majlis ini.
p/s. digalakkan bawa kuih-kuih raya sendiri bagi menambahkan koleksi juadah jamuan kita.

Rabu, 15 September 2010

Kursus PTK Bersiri Tahun 2010

Dimaklumkan kepada semua ahli bahawa Ahli Jawatankuasa KEPTAN Daerah Kuala Kangsar telah bersetuju dan memutus akan mengadakan Kursus PTK bersiri seperti jadual berikut :
TARIKH  :  4/9/2010, 18/9/2010, 25/9/2010, 2/10/2010 dan 9/10/2010
TEMPAT :  Pejabat Pelajaran Daerah Kuala Kangsar
MASA     :  8.00 pagi hingga 2.00 petang
Kadar bayaran yang dikenakan ialah sebanyak RM30.00 seorang bagi tempoh 5 hari berkursus tersebut. Pembayaran boleh dibuat melalui wakil-wakil AJK KEPTAN seperti berikut :
Zon Kati - Encik Mohd Yusof bin Sulaiman (SMK Temenggong Kati)
Zon Manong - Encik Abd Rahman bin Kulop Wahab (SMKA Al-Mizan, Jeliang)
Zon Padang Rengas - Puan Noorzila bt. Mokhtar (SMK Tun Perak, Pdg Rengas)
Zon Sungai Siput (U) - Encik Razemi bin Mat (SJKC Simpang Jalong, Sg Siput (U)
Zon Kuala Kangsar - Puan Asmah bt. Muhd Taha (SMK Raja Perempuan Kelsom)

Isnin, 13 September 2010

Salam Pengenalan

Alhamdulillah, akhirnya KEPTAN @ Kesatuan Pembantu Tadbir dan Pembantu Tadbir Rendah (Pendidikan) Cawangan Kuala Kangsar telah dapat mewujudkan satu laman sesawang (blog) yang diharap-harapkan oleh ahli kesatuan selama ini. Marilah sama-samalah kita gunakan sebaik mungkin laman ini untuk bertukar-tukar pendapat, memberi pandangan, berkongsi pengalaman serta membantu dalam menyelesaikan sebarang masalah yang timbul dalam melaksanakan tugas kita sebagai Pembantu Tadbir. Dengan adanya usaha yang tidak seberapa ini pihak KEPTAN Cawangan Kuala Kangsar berharap semua permasalahan berkaitan pentadbiran , kewangan dan sebagainya dapat diminimakan. Akhir kata Selamat Bertugas dan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin.